Pasar Siti Khadijah tempat wajib dilawati di Kota Bharu

11 April 2014
pasar siti khadijah

Wajah baru Pasar Siti Khadijah.

Pasar Besar Siti Khadijah adalah ikon pelancongan dan simbol membeli-belah terutamanya pakaian dan barangan dapur bagi kebanyakan pelancong dan penduduk setempat.

Peniaganya yang dimonopoli oleh kaum hawa menjadikan pasar ini sebagai tarikan pelancongan yang unik. Pasar ini sangat meriah di hari minggu dan cuti sekolah. Penduduk sekitar Kota Bharu juga sering ke sini untuk membeli barangan asas dan keperluan dapur.

Jika menginap di sekitar bandar Kota Bharu, pasar ini wajib dilawati. Malah, boleh berjalan kaki sahaja jika menginap di hotel-hotel yang berdekatan.

Pasar Siti Khadijah dibuka setiap hari seawal jam 7 pagi hingga 6 petang. Kemudahan ATM seperti BSN dan Maybank terdapat berdekatan dengan pasar ini.

Tingkat bawah

Di bahagian bawah pasar, antara yang dijual adalah barangan basah, kuih muih, sayuran, beras, buah-buahan, lauk dan keperluan asas dapur. Barangan di tingkat bawah biasanya dibeli oleh penduduk setempat.

Bagi pengunjung yang belum pernah merasai beras keluaran Thailand, boleh dapatkan di sini. Beras jenama Burung Serindit daripada Thailand antara beras yang paling sedap dan tersohor yang sentiasa menjadi beras pilihan penduduk Kelantan. Malah jauh menandingi beras keluaran tempatan.

Sebelum anda membeli beras ini, dinasihatkan menyuruh pekedai menimbangnya semula kerana bagi mengelakkan tersilap timbangan berat (kg) walaupun harga sama. Beras serindit wajib dibeli sebelum pulang.

Jika anda terlepas peluang membelinya di sini, anda boleh mendapatkannya juga di Rantau Panjang atau Wakaf Che Yeh. Perbezaan harga beras di pasar ini antara RM3-RM5 lebih mahal dari Rantau Panjang.

Beras siam

Beras siam yang dijual di Pasar Siti Khadijah

tingkat-bawah-pasar-siti-khadijah

Suasana di tingkat bawah yang menjual barangan basah

Tingkat 1

Tingkat 1 banyak menjual pelbagai makanan kering seperti keropok segera, dodol, serunding daging, kerepek, pelbagai jenis keropok, makanan segera, pelbagai kuih muih, alatan memasak, barangan plastik, rempas ratus, ikan kering dan bahan dapur.

Keropok yang sedap dan terlaris pada masa ini adalah keropok cap ikan mas, keropok cap ikan parang, keropok sira cap juara dan keropok segera cap dua tambang. Kualiti keropok juga berbeza antara satu sama lain.

Dari  segi harga, semua pengeluar meletakkan harga yang sama. Yang berbeza hanya rasa sahaja. Makanan kering yang ingin dibeli sangat dicadangkan untuk dibeli secara borong kerana anda akan mendapat harga yang lebih murah.

Pastikan makanan kering yang dibeli tampak segar dan masih baru supaya rasanya tidak terjejas.

Selain itu, anda juga boleh mencuba kuih muih Kelantan pelbagai jenis yang dijual seperti akok, tepung pelita, puteri mandi, badak berendam, tahi itik dan banyak lagi. Mesti cuba!! Kalau tidak kempunan pulak jadinya.

Untuk membeli barang makanan seperti keropok, kuih muih sangat disarankan dibeli disini. Beli secara borong untuk rakan sepejabat, saudara mara dan sahabat handai. Anda akan mendapat harga yang istimewa jika dibeli secara borong dan jangan lupa untuk tawar menawar.

Suasana di Tingkat 1

Suasana di TIngkat 1 Pasar Siti Khadijah

keropok di pasar siti khadijah

Pelbagai jenis keropok dijual

keropok di pasar siti khadijah

Keropok sira cap juara antara yang terlaris

Tingkat 2

Di tingkat inilah terdapatnya barangan batik, songket, tudung bawal, kain ela, kain sarung, kain pelikat, kain sembahyang, blouse, T-shirt,  kraftangan, beg, kasut, barang tembaga, peralatan dapur, bunga, pasu, barang kaca, barang kemas, alat solek, pewarna tikar, barang sulaman tudung dan permainan kanak-kanak.

Di sini antara syurga membeli belah bagi kaum wanita. Dari segi harganya pula bagi, ia tidaklah murah. Malah ada sesetengah kedai yang menjual dengan harga yang agak mahal juga.

Kelebihan di Pasar Siti Khadijah adalah terdapat pelbagai pilihan jenis tudung dan kain, lebih banyak dari tempat lain. Anda bolehlah survey terlebih dahulu harga-harga yang ditawarkan di sini. Jika hendak membeli di tingkat 2 ini, disarankan mesti pandai mencari kedai yang benar-benar dapat memberi harga yang istimewa.

Mesti survey dan tawar betul-betul sebelum membelinya, dan cari peniaga yang ramah sahaja. Peniaga yang ramah dan melayan anda dengan baik lebih mudah untuk ditawar. Pembeli senang, peniaga pun senang.

tudung pasar siti khadijah

Pelbagai jenis kain dan tudung membuatkan kaum wanita rambang mata

periuk belanga di pasar siti khadijah

Pelbagi jenis periuk belanga boleh dipilih

tudung pasar siti khadijah

Jangan lokek untuk tawar menawar, cari peniaga yang ramah untuk memudahkan tawar menawar dilakukan

Makan di Pasar Siti Khadijah

Jika penat membeli belah dan ronda-ronda pasar, boleh ke tingkat satu dimana terdapat medan selera yang menjual pelbagai jenis masakan serta juadah dan kuih muih negeri Kelantan yang istimewa.

Tidak perlu bersusah payah  mengintai kedai makan yang lain. Mencuba hidangan makanan di sini sudah cukup membuatkan anda puas.

Tidak lengkap jika anda berkunjung ke sini tanpa singgah menjamu selera di medan selera Tingkat 1 Pasar Siti  Khadijah ini. Jangan lepaskan peluang!

makan di atas pasar siti khadijah

Menjamu selera di tingkat 1 selepas penat membeli belah

Cuba menu popular dari kalangan penduduk tempatan seperti nasi/mee sup perut, laksa/laksam kelantan, mee celup, ayam percik, nasi berlauk, nasi campur dan lain-lain.

Selain itu, menu ‘mewah’ seperti udang galah besar, ayam percik dan ayam panggang juga boleh didapati.

Dari segi harganya tidak perlu risau, kerana kebanyakan kedai telah meletakkan harganya di kedai masing-masing. Semuanya berpatutan.

Purata harga menu di sini antara RM2 – RM5 untuk satu menu. Contohnya nasi sup perut berharga RM4.50 dan mee sup perut RM3.50. Terdapat banyak kedai yang menjual menu yang sama.

tempat makan di pasar siti khadijah

Ruang makan yang mengekalkan ciri-ciri ‘old school’

Kemudahan Masjid

Bagi yang beragama Islam, kemudahan masjid yang selesa juga disediakan di sebelah luar pasar. Masjid yang diberi nama Masjid Al-Barqah sangat disyorkan untuk menunaikan solat. Kemudahan tandas juga selesa.

masjid berdekatan pasar siti khadijah

Tidak perlu susah mencari tempat solat, hanya disebelah Pasar Siti Khadijah sahaja

bahagian luar pasar siti khadijah

Bahagian luar Pasar Siti Khadijah

gerai di luar pasar siti khadijah

Gerai diluar Pasar Siti Khadijah juga banyak menjual buah-buahan dan makanan kering

Pasar Siti Khadijah - Pasar yang mesti dilawati apabila bercuti di Kelantan

Pasar Siti Khadijah – Pasar yang mesti dilawati apabila bercuti di Kelantan

Tips di Pasar Siti Khadijah

  • Kepada yang pertama kali datang ke sini dan belum pernah menjejakkan kaki ke Pasar Siti Khadijah, sangat disyorkan untuk membeli belah di pasar ini. Hanya untuk merasai suasana dan persekitaran pasar yang menjadi kebanggaan dan simbol Negeri Kelantan.
  • Perbezaan harga barangan di sini dengan di tempat lain seperti Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor tidak jauh bezanya.
  • Barangan yang disyorkan dibeli adalah beras, pelbagai jenis keropok, serunding daging, kuih muih dan pelbagai makanan kering serta tudung.
  • Jika menginap di Kota Bharu, dicadangkan mengunjungi pasar ini pada hari terakhir selepas check-out atau sebelum pulang.



Comments

  1. says

    "Sebelum membeli di sini, sediakan duit yang mencukupi kerana mesin ATM agak jauh juga dari pasar ini"..
    Kena betulkan balik ayat ni. Ibu Pejabat BSN sebelah pasar je. ATM Maybank pun sebelah Pasar Raya Pantai Timur, sebelah BSN. Siap ada pengurupan wang, pertukaran mata wang lagi kat sebelah ATM Maybank tu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


two × = 4


*