Tawar-menawar di sempadan Siam

15 October 2012

Tawar-menawar di sempadan Siam

 

Oleh SYALMIZI HAMID

beli belah kelantan   SETIAP kali tibanya Syawal, senario jalan raya di kawasan-kawasan Utara dan Pantai Timur tanah air akan berubah wajah. Jika sebelum ini hiruk-pikuk kenderaan sinonim dengan kesesakan di ibu kota, kini kesibukan itu sudah beralih tempat. Walaupun Aidilfitri sudah memasuki hari kesembilan, suasana hari raya masih dirasai. Horizon ingin mengajak pembaca yang pulang ke kampung halaman terutamanya di kawasan-kawasan Utara untuk ke beberapa destinasi menarik. Apakah tujuannya? Tentu sekali bagi mendapatkan buah tangan istimewa untuk dibawa pulang ke ibu kota. Diibaratkan syurga beli-belah terutamanya bagi wanita dan suri rumah, zon bebas cukai di kawasan persempadanan dua negara iaitu Thailand dan Malaysia menawarkan pelbagai barangan untuk dibawa pulang. Bermula daripada pakaian, barangan aksesori, makanan snek, alatan dapur, jersi bola sepak, barangan kraftangan, buah-buahan segar sehinggalah kepada barangan permainan kanak-kanak, semuanya boleh didapati di situ pada harga yang lebih murah. rantau panjang  Antara kawasan bebas cukai sempadan popular yang sering menjadi bualan pelancong dalam negara adalah Bukit Kayu Hitam, Kedah; Padang Besar, Perlis serta Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang di Kelantan. Horizon menyenaraikan beberapa sebab destinasi tersebut perlu dikunjungi terutamanya mereka yang mancari pelbagai jenis pakaian, perkakasan dapur, set pinggan mangkuk dan permainan kanak-kanak. Bagi mereka yang belum pernah biasa menempuh perjalanan ke lokasi tersebut, beberapa pengalaman baru pasti dapat dirasai. Selain dihidangkan dengan pemandangan desa yang indah, pengunjung juga boleh merasakan pengalaman berbeza seperti prosedur melepasi kawasan pemeriksaan pihak berkuasa untuk ke lokasi berbelanja. Tiada yang perlu dirisaukan. Tujuan sekatan polis tersebut adalah untuk menghalang kemasukan barangan larangan tertentu.  

BUAH-BUAHAN segar yang dibawa
masuk dari Thailand adalah antara
jualan menarik di Rantau Panjang, Kelantan.

 

Bukit Kayu Hitam

Terletak di daerah Kubang Pasu, Kedah, kawasan zon bebas cukai Bukit Kayu Hitam terdiri daripada beberapa kompleks perniagaan yang moden dan separa moden, antaranya Kompleks Bebas Cukai Cergas Jaya dan The Zon selain gerai-gerai jualan. Pusat beli-belah di kawasan sempadan negara tersebut telah dirasmikan pada 12 Mac 1988 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ia adalah antara pintu masuk pelancong utama dari Thailand yang terletak bersempadan dengan daerah Danok di negara Gajah Putih itu. Sangat mudah untuk sampai ke kawasan bebas cukai Bukit Kayu Hitam kerana akses ke kawasan itu dihubungkan melalui Lebuh raya Utara Selatan (PLUS). Bukit Kayu Hitam terletak di penghujung lebuh raya PLUS iaitu 48 kilometer (km) dari Alor Setar, 150 km dari Pulau Pinang dan hampir 480 km dari bandar raya Kuala Lumpur. Sekiranya tidak mahu memandu kenderaan sendiri, pelancong dari ibu negara boleh memilih untuk menaiki kapal terbang, kereta api ataupun bas ekspres. “Jika melalui lebuh raya PLUS, anda dapat menyaksikan pemandangan pokok padi yang luas di kiri kanan lebuh raya. “Lebih menarik pemandangan itu dilihat ketika padi sedang menguning sambil melihat matahari terbenam pada waktu petang,” ujar Zuryanie Zainol, 25, yang sentiasa mengunjungi kawasan itu untuk mendapatkan barangan cadar dan pinggan mangkuk.   kasut rantau panjang

KEDAI yang menawarkan seleksi kasut berjenama selalunya menjadi tumpuan di Rantau Panjang, Kelantan.
 

Padang Besar

Bagi yang mahu berlibur hingga ke negeri paling utara Semenanjung Malaysia, jangan lepaskan peluang bertamu ke Padang Besar, Perlis. Di situ pelbagai barangan dijual pada harga yang lebih murah terutamanya pada hari Isnin hingga Khamis. Pada hujung minggu pula, harga mungkin dinaikkan sedikit. Maka, pengunjung perlu bijak memainkan peranan dalam sesi tawar-menawar. Terletak 35 km dari bandar Kangar, kawasan itu selain sinonim dengan jualan barangan seperti yang boleh didapati di lokasi beli-belah sempadan yang lain, ia juga mempunyai peminat di kalangan mereka yang gemar pada snek dan manisan seperti gula-gula, biskut, wafer serta coklat. Produk coklat di Padang Besar dijual pada harga yang setanding tarikan harga di pulau bebas cukai, Langkawi. Jika menempuh perjalanan dari Arau, 30 minit masa perjalanan akan diambil dan sepanjang jalan ke situ pengunjung akan dapat menyaksikan pemandangan sawah padi dan ladang tebu Chuping yang luas selain Tasik Timah Tasoh yang indah. Masa perjalanan selama enam jam diperlukan untuk sampai ke situ melalui PLUS jika kunjungan bermula dari Kuala Lumpur. Pengunjung berkereta akan melalui pekan Changlun, lebuh raya Changlun-Kuala Perlis, Kangar, sebelum sampai ke Padang Besar. Sejurus melepasi sebuah pintu gerbang yang tertera ungkapan ’Terima kasih. Pakat Pakat Mai Lagi’, ketika sampai ke negeri Indera Kayangan itu, ia menandakan bahawa destinasi yang dituju sudahpun dekat. Seorang anak jati Kangar, Ghazlizanif Ghazali, 33, memberitahu Kosmo! bahawa kawasan beli-belah di kawasan utara tersebut mempunyai ruang niaga yang tersusun selain suasana yang mesra pengguna. “Kemudahan tandas, surau dan tempat letak kereta yang mencukupi memberi keselesaan kepada pengunjung. Ia adalah sebuah kawasan beli-belah yang unik kerana pelbagai jenis barangan daripada negara jiran boleh didapati di situ,” ujar eksekutif bank itu yang kini menetap di Kuala Lumpur. pengkalan kubor

PINTU masuk di sempadan Pengkalan Kubor meriah dengan barangan yang dibawa masuk dari negara jiran.

Pengkalan Kubor

Berlokasi di negeri Cik Siti Wan Kembang, kawasan bebas cukai Pengkalan Kubur terletak di daerah Tumpat, Kelantan. Secara fizikalnya, lokasi yang sering menjadi sesak tatkala tibanya musim cuti sekolah itu berada di muara Sungai Golok dan berjiran dengan pekan Tak Bai di Thailand. Mempunyai sebuah kompleks perniagaan yang tersusun, pengunjung yang berhasrat ke situ dipermudahkan dengan pilihan pelbagai kemudahan pengangkutan awam seperti teksi dan bas antara bandar. Jika ingin memandu sendiri ke situ, kemudahan tempat letak kereta juga tersedia. Hanya dalam jarak kira-kira 35 km dari bandar Kota Bharu, lokasi popular itu menjadi pilihan seisi keluarga untuk melengkapkan stok barangan dapur dan harian. Sepanjang perjalanan ke pekan itu, pengunjung turut disajikan dengan pemandangan sawah padi yang luas di kiri kanan jalan selain wat-wat Buddha. Bagaikan mercu tanda di pekan sempadan itu, sebuah patung Buddha duduk yang setinggi 30 meter pasti menangkap perhatian mata ketika melepasi Kampung Jubakar, Tumpat.

Rantau Panjang

PUSAT beli-belah The Zon adalah antara prasarana moden yang dibangunkan di zon bebas cukai dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah.
 

Selain Pengkalan Kubor, pekan Rantau Panjang juga mampu menyaingi lokasi jual-beli bagi barangan keperluan dan dekorasi kediaman. Bertempat 40 km ke utara dari bandar Kota Bharu, pekan itu menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong domestik. Seperti biasa, musim cuti sekolah mahupun hujung minggu adalah pintu rezeki buat para peniaga di situ. Berbeza daripada zon bebas cukai lain, gaya penjual di situ kelihatan lebih santai kerana mereka melakukan aktiviti perniagaan secara berselerak. Walaupun sedikit sesak, ia memberikan gambaran menarik mengenai budaya tempatan. Kadangkala, suasana formal umpama di kompleks komersial tidak menjadi satu kemestian kerana konsep terbuka dan tidak tersusun itu lebih mencetuskan kemeriahan sekali gus menonjolkan identiti dan budaya penduduknya. “Anda dapat saksikan wanita-wanita warga emas menjalankan perniagaan kecil-kecilan mereka seperti snek dari Siam (Thailand), alatan permainan kanak-kanak dan makanan popular dari sana seperti pulut ayam,” kata seorang pengunjung yang sering bertandang ke situ, Nur Hufaidah Zakaria, 26, kepada Kosmo!. Menariknya, jikalau pengunjung tahu bercakap mengikut loghat Kelantan, mereka pasti lebih beruntung kerana lebih mudah untuk tawar-menawar bagi mendapatkan harga paling rendah.  




Comments

  1. says

    You share interesting things here. I think that your page can go viral easily, but
    you must give it initial boost and i know how to do it,
    just search in google – mundillo traffic increase

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


6 × = forty eight


*