Relaks di pinggir Sungai Kelantan

2 March 2012

Relaks di pinggir Sungai Kelantan

ridel hotel

PANDANGAN bangunan Ridel Hotel yang mewarnai landskap Kota Bharu.

 

WALAUPUN berada di dalam lingkungan pusat bandar ibu negeri Cik Siti Wan Kembang, elemen kedamaian masih terasa tatkala singgah menginap di sebuah hotel yang berada di pinggir Sungai Kelantan.

Duduk pada waktu pagi di tepi sungai pasti menjanjikan suasana mengasyikkan. Momen santai menikmati secangkir teh bersama hidangan sarapan di kafe terbuka bertambah enak apabila disapa udara redup dari Sungai Kelantan. Baru setahun memulakan operasinya sejak November 2007, Ridel Hotel yang bertaraf dua bintang itu saban hari semakin dekat di hati pelancong untuk bertandang tamu ke situ. Selain daripada keistimewaannya yang mengambil tempat di pinggir Sungai Kelantan, ia juga terletak dalam radius singkat ke beberapa lokasi menarik di sekitar bandar Kota Bharu. Tempat-tempat menarik yang menjadi signatur bandar itu seperti Kota Sultan Ismail, Pasar Besar Siti Khadijah, dan Masjid Muhammadi boleh dilawati dengan hanya berjalan kaki dari hotel yang menawarkan harga bilik serendah RM90++ itu. Pengurus Residen Ridel Hotel, Ahmad Fitri Zainuddin menjelaskan bahawa hotel yang mempunyai sejumlah 77 buah bilik itu mengadaptasikan konsep hotel butik seiring dengan gaya hidup masyarakat yang lebih ringkas dan moden namun masih menghargai elemen mewah. “Warna-warna kontemporari diadaptasi ke atas ruang hotel yang terdiri daripada pelbagai jenis bilik yang turut dilengkapi dengan kemudahan seperti penyaman udara, pemanas air, Internet percuma, peti sejuk mini, dan alat pembuat kopi serta teh. “Apabila berkunjung ke Kelantan, mencuba makanan tradisional negeri adalah satu kewajipan. Hotel ini turut menyediakan menu masakan tempatan mahupun hidangan Barat dan Asia yang boleh didapati di Warung Tepisungai, Shark Lounge mahupun Restoran Puteh. “Selain dari memilih untuk menikmati juadah di hotel ini, pengunjung juga boleh memilih lokasi-lokasi menjamu selera lain yang terdapat di bangunan Pelangi Mall yang berkongsi ruang bangunan dengan hotel ini,” jelasnya. Hotel yang menyuntik warna kuning dalam cat luarannya itu menawarkan pelbagai jenis bilik pada tawaran harga penginapan yang berbaloi.

Antaranya bilik Standard dengan harga RM90++, Superior (RM105++), Deluxe (RM125++), Superior Triple (RM145++), Deluxe Triple (RM160++), Family (RM160++) dan Executive (RM160++).

ridel hotel wakaf che yeh

CAWANGAN Ridel Boutique Hotel di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.

“Pakej-pakej menarik turut disediakan seperti kemudahan seminar dengan tawaran harga serendah RM90 seorang untuk pakej kursus termasuk enam kali makan, bilik penginapan dan dewan seminar,” kata Ahmad Fitri. Memilih Ridel Hotel pastinya berbaloi kerana kunjungan ke destinasi percutian yang terkenal dengan jolokan syurga membeli-belah itu menjanjikan suasana percutian yang menarik seiring dengan mood berbelanja sepanjang berada di negari Kelantan. Selain beroperasi di pusat bandar Kota Budaya, Ridel Hotel turut mempunyai cawangannya iaitu Ridel Boutique Hotel bertempat di Wakaf Che Yeh iaitu lokasi beli-belah yang beroperasi 24 jam dan menjadi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa. “Ridel Boutique Hotel turut menawarkan rekaan hiasan dalaman yang sama seperti Ridel Hotel dan terdapat sejumlah 20 bilik berserta tawaran harga yang bermula dari RM80++, RM90++ dan RM 160++,” jelas Ahmad Fitri. Bagaimana jika ingin ke situ? Pelancong yang bercadang untuk ke Kota Bharu perlu merancang awal percutian kerana bilik-bilik hotel sentiasa penuh terutamanya ketika musim cuti sekolah dan musim-musim perayaan. Tempahan awal perlu dilakukan agar percutian ke negeri serambi Mekah itu tidak terbantut. – SYALMIZI HAMID   -KOSMO Online